fb fb fb fb fb

55 rakyat Malaysia ditahan di luar negara terlibat sindiket ‘keldai dadah’

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 November -Seramai 55 rakyat Malaysia ditahan di luar negara sejak Januari hingga September lalu kerana disyaki menjadi ‘keldai dadah’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, 50 orang merupakan lelaki, manakala lima lagi wanita.

Menurut beliau, tangkapan dibuat di 16 negara termasuk Indonesia (10), Singapura (9), Kemboja dan Taiwan (6), Thailand (5), Belgium, Laos dan Macau (3), Hong Kong dan Korea Selatan (2) serta masing-masing satu tangkapan di Filipina, Jepun, Jordan, Maghribi, Myanmar dan Norway.

“Sindiket ini sentiasa mencari mangsa baharu dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pekerjaan atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Hussein menjelaskan, sindiket berkenaan dikesan merekrut mangsa melalui media sosial dan iklan kerja palsu, dengan menyasarkan golongan belia, pelajar, pencari kerja serta mereka berpendapatan tidak stabil.

Mangsa dijanjikan upah antara RM1,000 hingga RM10,000, termasuk tiket penerbangan dan penginapan percuma bagi menjalankan kerja mudah tanpa pengalaman.

Namun katanya, semua tawaran tersebut hanyalah umpan untuk memperdayakan mangsa membawa bagasi atau bungkusan berisi dadah berbahaya.

Modus operandi sindiket termasuk menyembunyikan dadah dalam bagasi, perabot kecil, makanan, peralatan elektronik serta menggunakan perkhidmatan kurier dan kaedah ‘body packing’ bagi melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.

Destinasi utama penyeludupan ialah United Kingdom, beberapa negara Eropah dan Asia Timur, berikutan peningkatan penggunaan lapangan terbang serantau sebagai lokasi transit.

“Antara jenis dadah yang sering dibawa termasuk methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi), ganja dan kokain, bergantung kepada laluan dan permintaan pasaran,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja luar negara yang meragukan serta tidak membawa bagasi orang lain tanpa mengetahui kandungannya.

“Alasan tidak tahu isi kandungan bagasi tidak diterima di kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah yang amat tegas, termasuk hukuman mati,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui Talian Hotline JSJN di 012-208 7222.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN