GEORGE TOWN, 12 November - Lima warga China termasuk seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan tinggal melebihi tempoh dan melanggar syarat pas pekerjaan.
Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap dua tertuduh Zhu Lushan, 34 dan Liu Xiaoqian, 28, yang turut diperintah menjalani hukuman penjara selama lapan bulan jika gagal membayar denda.
Lushan dan Xiaoqian didakwa tinggal melebihi tempoh sah pas khas masing-masing selama enam hari.
Manakala denda sebanyak RM1,000 dikenakan terhadap tiga tertuduh, Zhu Xiaolong, 36, He Linpeng, 33, dan Tong Bofeng, 31.
Kesemua mereka turut diperintah dipenjara selama dua bulan jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa melanggar syarat pas pekerjaan dengan berada di premis yang bukan alamat pekerjaan mereka di Batu Ferringhi, 31 Oktober lalu.
Lima warga China itu membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan dalam bahasa Mandarin kepada mereka di hadapan Majistret.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ng Sze Wei.