fb fb fb fb fb

42 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan

Foto JIM Sarawak

KUCHING, 22 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan seramai 42 individu menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Selera di beberapa lokasi di negeri itu pada Isnin hingga awal pagi semalam.

JIM Sarawak menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, operasi dilakukan Bahagian Penguatkuasa Imigresen (BPI) Kuching.

"Bertindak atas makluman risikan, sepasukan anggota dari BPI Kuching telah memeriksa seramai 88 individu di kebanyakan lokasi tersebut, melibatkan penahanan seramai 42 individu.

"Daripada jumlah tersebut, 37 adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita. Melalui pemeriksaan secara mengejut tersebut, kira-kira dua majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan," menurut hantaran itu.

Ops Sapu melibatkan tangkapan di rumah kongsi di tiga tapak pembinaan di Kuching - Samarahan Expressway dan Jalan Datuk Mohamad Musa.

Sementara itu Ops Mahir di Jalan Astana, Sri Aman manakala Ops Selera dilakukan di dua premis makanan di Demak Lauk dan Pending.

Kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua individu yang ditahan dalam operasi-operasi tersebut didapati melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi masa, dan tidak mempunyai pas sah untuk tinggal di Malaysia," tambah hantaran itu.

Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat terus ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia berdekatan atau melalui saluran aduan secara dalam talian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI