fb fb fb fb fb

42 mesin bitcoin dirampas, seorang individu curi elektrik ditahan

42 mesin bitcoin dirampas dalam operasi ke atas sebuah premis di Pusat Perniagaan Marina, Kuala Perlis

SIMPANG EMPAT, 24 Februari- Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar merampas kira-kira 42 unit mesin bitcoin dalam operasi ke atas sebuah premis di Pusat Perniagaan Marina, Kuala Perlis pada 18 Januari lalu.

Ketua Polis Perlis Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM156,000 termasuk aksesori bernilai RM30,000.

"Pasukan operasi disertai petugas atau pegawai teknikal dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesan premis tersebut melakukan pepasangan secara haram yang menyebabkan kerugian di pihak TNB.

"Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun telah ditahan terlibat dengan penyambungan elektrik secara haram dalam aktiviti perlombongan bitcoin. Hasil daripada siasatan mendapati aktiviti ini telah dilakukan bermula dari tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Balai Polis Simpang Empat di sini.

Susulan kes kecurian elektrik yang dilakukan sejak awal tahun 2024 menyebabkan TNB kerugian mencecah RM1.3 juta.

Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Bagaimanapun suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar pada 23 Januari lalu mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 namun suspek tidak mengaku bersalah dan dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM17,000.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI