KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Sebanyak 36 kertas siasatan dibuka dan 35 peniaga kedai runcit warga tempatan dan asing ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setelah disyaki menjual barangan seludup khususnya rokok dan minuman keras dalam Op Royal bermula sejak 12 Ogos lepas di sekitar Kuala Lumpur.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata JKDM merampas lebih 5,000 liter minuman keras dan 727,801 batang rokok bernilai lebih RM2.1 juta dalam operasi bersepadu itu yang melibatkan pemeriksaan ke atas 85 premis.
"Selain pemeriksaan dan operasi kita juga buka khemah statik atau van bergerak. Ini merupakan salah satu platform utk kita terima aduan dan menyampaikan mesej antipenyeludupan untuk kita bina kerjasama agensi dan juga komuniti awam," katanya dalam sidang media pada Op Royal sekitar Jalan Abdul Rahman Idris, Chow Kit di ibu negara.
Norlela berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.