fb fb fb fb fb

25 mangsa penipuan skim pelaburan rugi RM10 juta, buat laporan polis

25 mangsa penipuan skim pelaburan kerugian RM10 juta, buat laporan polis

BAYAN LEPAS, 22 Julai- Seramai 25 mangsa terpedaya dengan skim pelaburan patuh syariah mengalami kerugian kira-kira RM10 juta membuat laporan polis bagi menuntut keadilan serta siasatan secara menyeluruh terhadap sebuah syarikat.

Ia susulan kebanyakan mangsa mendakwa individu yang menjadi dalang secara langsung dengan syarikat pelaburan masih bebas meskipun ramai menjadi mangsa penipuan mereka.

Ruzianzan Ibrahim, 40 tahun, salah seorang mangsa yang merupakan peniaga berkata, dia juga ‘terjebak’ selepas rakannya mengajaknya mengikuti ceramah pelaburan dan mengalami kerugian sebanyak RM 40,000.

“Saya mulakan pelaburan dengan nilai RM10,000, saya rasa pelaburan ini boleh dipercayai selepas setiap bulan dalam tempoh enam bulan saya dapat pulangan RM1,000 sebulan melalui hibah yang ditawarkan.

“Saya kemudiannya menambah pelaburan menjadi RM30,000 selepasa banyak promosi dilakukan mereka, namun tidak lama kemudian saya sudah tidak dapat apa-apa pulangan daripada syarikat ini dan secara keseluruhannya RM40,000 wang saya hangus,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Lepas, hari ini.

Manakala, suri rumah yang juga peniaga, Shahrija Aishah Nagoor, 53 tahun berkata, duit pusaka arwah suaminya sebanyak RM 45,000 lesap selepas dia dipelawa menyertai pelaburan tersebut oleh kontraktor yang menjalankan proses ubah suai rumahnya.

“Saya mula sertai pelaburan ini dari 2018 sampai 2020. Namun satu sen pulangan wang pelaburan pun saya tidak dapat. Bila saya tanya kepada syarikat pelaburan ini mereka kata adakah dunia nak kiamat, kalau saya tidak dapat semula duit saya.

“Saya hanya mahukan keadilan bagi kes ini sebab mulanya cara diai itu, memang meyakinkan dan lagi satu sebagai seorang Islam, bila diletakkan terma patuh syariah jadi kita lagi yakin serta turut dimasukkan individu yang berpengetahuan pasal agama dalam syarikat itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata sebelum ini pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah pada 2021, namun kedua-dua mereka dibebaskan tanpa dilepaskan kerana ada pengadu menarik semula laporan.

“Membuat laporan polis, iaitu First Information Report (FIR) dengan meminta kepada pihak polis untuk menyiasat dibawah Seksyen 420 Jenayah Tipu dibawah Seksyen 415 Perdaya dan juga dibawah Seksyen 409 Pecah Amanah.

“Bukan itu sahaja kita juga akan membuat laporan polis membuat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti terhadap tawaran pelaburan ala hutang yang telah ditawarkan oleh sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan prospektus mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan,” katanya.

ROSLINA BINTI DIN