fb fb fb fb fb

Kehilangan Albertine: Polis tahan tiga individu, klasifikasi sebagai kes culik

Albertine Leo Jia Hui, 6, tahun. Ketika hilang, (kanan) dia memakai baju T-shirt putih bergambar 'Mickey Mouse' dan berseluar pendek

JOHOR BAHRU, 23 Julai- Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya Polis (CP) M Kumar berkata, tiga individu warga tempatan itu ditahan di sekitar Gelang Patah, pukul 1.30 petang semalam.

"Tangkapan telah dibuat terhadap dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 28 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

"Kes kehilangan kanak-kanak itu juga sudah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut Kumar, siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan ketiga-tiga individu itu akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pagi ini bagi mendapatkan perintah reman.

Katanya, kanak-kanak itu juga setakat ini masih belum ditemui.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian Bilik Gerakan 07-2212999," katanya.

Sabtu lalu, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam.

Kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (cm) dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Ketika hilang, dia memakai baju T-shirt putih bergambar 'Mickey Mouse' dan berseluar pendek.

SITI AISHAH MD ISA