fb fb fb fb fb

20 bekas pelajar MRSM Merbok didakwa atas pertuduhan pukul rakan

KEDAH, 22 Jun - 20 bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mencederakan dan memukul seorang pelajar dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 18 dan 19 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim. Bagaimanapun prosiding dijalankan dalam kamar mahkamah secara tertutup atas permintaan keluarga.

Mengikut kertas pertuduhan, semua pelajar terbabit yang ketika itu berusia 16 dan 17 tahun didakwa secara bersama mendatangkan kecederaan terhadap rakan sekolah berusia 16 tahun di kawasan asrama.

Semua mereka terdiri daripada 10 bekas pelajar Tingkatan Lima dan 10 bekas pelajar Tingkatan Empat yang tinggal di asrama sekolah berkenaan sebelum ini.


(20 bekas pelajar MRSM Merbok didakwa hari ini atas pertuduhan pukul rakan dua tahun lalu)

Dalam kejadian pada 27 Oktober 2020 itu, seorang pelajar Tingkatan Empat menjadi mangsa apabila dipukul 20 pelajar yang tidak berpuas hati dengan tindakannya mengarahkan mereka mengosongkan padang selepas waktu riadah petang.

Mangsa yang ketika itu memegang jawatan Presiden Badan Dakwah dan Rohani pada mulanya dipukul sekumpulan 10 pelajar Tingkatan Lima pada jam 12.30 tengah malam selepas dia diajak turun ke bawah asrama oleh seorang rakan yang mendakwa pelajar senior mahu bertemu dengannya.

Pada jam 2 pagi pula, mangsa didatangi pelajar lain yang mengajaknya ke bilik sebelah untuk menyelesaikan masalah sebelum dipukul bergilir-gilir di perut, belakang badan, peha dan kaki oleh 10 pelajar Tingkatan Empat.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Nadhirah membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya, manakala tertuduh diwakili peguam Nurliyana Mohd Razali.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak diserahkan sebelum hukuman dijatuhkan.

Media Baharu