fb fb fb fb fb

2,000kg minyak masak bersubsidi dirampas di stor haram

FOTO KPDN PULAU PINANG

PERMATANG PAUH, 28 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar aktiviti menyeleweng minyak masak peket 1 kilogram (kg) selepas menyerbu sebuah stor haram di Permatang Pauh di sini hari ini.

Pengarahnya S. Jegan dalam satu kenyataan menyatakan modus operandi penyeludup melibatkan pembelian dan pengumpulan minyak masak peket menerusi peruncit dan pemborong di sekitar kawasan terbabit.

Minyak masak tersebut kemudian digunting dan dimasukkan ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) untuk dijual semula.

Jumlah keseluruhan minyak masak yang disita dianggarkan sekitar 2,000kg.

Ketika serbuan, pihaknya turut menemui peket-peket minyak masak 1kg yang telah digunting dan dimasukkan ke dalam tangki IBC.

Tiga orang warga asing termasuk seorang lelaki dan dua wanita berusia 30 tahun ke atas ditangkap dalam tindakan tersebut. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,000.

Kes itu disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Untuk syarikat, denda maksimum adalah RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

SITI AISHAH MD ISA