fb fb fb fb fb

Cubaan seludup minyak masak ke Thailand digagalkan

Azman Ismail (tengah) memegang foto berhubung tangkapan berkaitan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke Thailand baru-baru ini

PASIR PUTEH, 28 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke Thailand pada Sabtu lepas.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, operasi berdasarkan risikan tersebut dijalankan pada pukul 4.00 petang di Pengkalan Haram Ayam, Kampung Terusan, Rantau Panjang.

Semasa serbuan, sebuah lori dengan enjin masih hidup ditemui dalam keadaan ditinggalkan tanpa pemandu di lokasi tersebut.

"Lori tersebut sebenarnya telah kami kesan sejak awal melalui risikan bersama PGA. Lori itu yang berasal dari luar Kelantan telah dikesan memasuki negeri ini dan tersangkut ketika hendak menuju ke lokasi penyeludupan.

"Oleh itu, selepas kami menunggu, pemandu lori melarikan diri, membolehkan kami menahan lori berkenaan bersama 1,100 kotak minyak masak pelbagai jenama yang dibawa masuk dari luar Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa rampasan melibatkan sebuah lori bernilai RM160,000 dan minyak masak bersubsidi dianggarkan seberat 18,700 kilogram, dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM46,750.

Azman menambah, penyeludup kini sanggup membeli minyak masak peket dari luar Kelantan untuk diseludup ke Thailand demi meraih keuntungan tinggi.

Harga jualan dua kali ganda di Thailand menarik minat penyeludup untuk membawa keluar barangan bersubsidi tersebut menggunakan laluan tidak sah.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa KPDN Kelantan mengerahkan 144 pegawai penguatkuasa dan 84 pegawai pemantau harga di seluruh negeri sempena SHMMP Deepavali 2024.

Langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada tindakan peniaga yang menaikkan harga barangan asas sesuka hati sepanjang musim perayaan.

SITI AISHAH MD ISA