KUALA LUMPUR, 8 Januari- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, walaupun mendapat pendidikan berkualiti dan memiliki pengalaman luas dalam tadbir urus, beliau juga boleh tersilap.
Beliau yang membela diri pada perbicaraan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata kesilapan boleh berlaku jika sesuatu perkara diperdaya oleh pihak yang salah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan balas, sama ada beliau mampu menilai di antara yang betul dan salah.
Timbalan Pendakwa Raya juga mencadangkan Datuk Seri Najib Razak memiliki kemahiran yang tinggi dalam membuat keputusan kerana beliau sudah memegang jawatan yang penting sama ada dalam kerajaan atau korporat dalam tempoh yang lama.
Beliau mengakui kenyataan itu adalah betul, tetapi kadang-kadang beliau boleh membuat kesilapan apabila fakta tidak dibentangkan dengan cara yang betul dan beliau diberi maklumat yang salah.
Tegas beliau, walaupun beliau perdana menteri ketika itu, dasar kerajaan bukan ditentukan oleh seorang individu sahaja.
Jelas beliau, pengurusan 1MDB bersama-sama dengan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) menipunya dalam menjalankan skim itu dan lembaga pengarah syarikat serta institusi kewangan gagal menjalankan pengawasan yang sewajarnya.
Perbicaraan yang dijalankan di Istana Kehakiman bersambung esok.