fb fb fb fb fb

152 pengunjung kelab malam ditahan, 25 daripadanya positif dadah

FOTO POLIS PERAK

SITIAWAN, 11 Mac- Satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu di sebuah pusat hiburan di Sitiawan ditumpaskan polis Perak pada tengah malam Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 152 pengunjung telah ditahan di pusat hiburan berkenaan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati 25 orang positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan benzo.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, 14 terdiri daripada lelaki warganegara tempatan dan 11 perempuan warga Vietnam yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 41 tahun.

Katanya, kesemua mereka yang positif dadah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, serbuan berkenaan dilakukan ekoran penahanan seorang lelaki berusia 28 tahun di hadapan sebuah pusat hiburan tersebut pada pada 12.35 tengah malam Ahad.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan, pihak polis menemukan dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai hampir RM3,000.

Ujarnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah dan dadah.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula 10 Mac bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE