fb fb fb fb fb

Kastam Negeri Sembilan rampas rokok putih, minuman keras bernilai RM13.4 juta

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak menunjukkan sebahagian rokok dan minuman keras yang dirampas

SEREMBAN, 11 Mac- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok putih dan minuman keras yang diseludup membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM13.4 juta dalam dua serbuan di Selangor pada 26 Feb dan 1 Mac lepas.

Pengarahnya, Mohammad Hafiz Ishak berkata serbuan dilakukan di Pelabuhan Klang Utara dan Pandamaran, Selangor.

Katanya, dalam serbuan pertama pada 26 Februari pukul 12 tengah hari itu, pihaknya menahan tiga unit kontena di Pelabuhan Klang Utara dan menemukan sebanyak 97,200 tin bersama 30,392 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz bernilai keseluruhan RM3.2 juta.

"Modus operandi sindiket adalah minuman keras tersebut diseludup dan dipercayai telah dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah bagi tujuan penjualan di pasaran tempatan dengan harga yang lebih murah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Peraturan 30(1) peraturan – peraturan Zon Bebas 1991,"katanya.

Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

Kontena itu dipercayai dibawa dari Dubai dan China untuk pasaran negara jiran.

Sementara itu, jelas Mohammad Hafiz, serbuan kedua  pada 1 Mac kira-kira pukul 4 petang di sebuah premis sekitar Pandamaran, Selangor, JKDM menyita lima unit kontena dan dua lori mengandungi 591,000 paket rokok putih pelbagai jenama, 51,936 tin serta 5,576 botol minuman keras bernilai keseluruhan RM10.2 juta.

"Kesemua rokok putih dan minuman keras yang dijumpai tidak mempunyai label cukai dan disyaki sebagai barangan larangan import yang telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Kesemua kontena dan lori yang mengandungi muatan dagangan telah disita mengikut Seksyen 14 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan bersama tiga OYDS (orang yang disyaki) untuk siasatan lanjut,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE