KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dalam satu serbuan di sebuah premis di Dengkil selangor pada Jumaat lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan memkalumkan, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Cawangan Sepang, hasil maklumat awal daripada risikan yang telah dilakukan pihak KPDN Putrajaya beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan.
Jelasnya hasil maklumat awal, modus operandi sindiket terbabit mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar kawasan berhampiran tempat kejadian dengan menggunakan lori yang telah diubah suai sebelum dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram penyimpanan dan pemindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis berkenaan, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 12,000 liter minyak disesel dan peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan,"katanya.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM49,100.
Dua lelaki tempatan berusia 57 dan 44 tahun turut ditahan reman bagi membantu siasatan.