KUALA NERANG, 26 Januari - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 116 bungkusan mengandungi daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand di sempadan negara di Padang Terap, hari ini.
Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen) berkata, ketum seberat 1,740 kilogram itu ditemui di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda pada pukul 7.15 pagi.
"Kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan ditemui di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.
"Hasil siasatan mendapati bungkusan itu mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan 1,740 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM52,200 berada dalam kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kesemua bungkusan dan kenderaan tersebut dengan anggaran keseluruhan lebih RM150,000 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.
Menurut kenyataan itu lagi pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara.