fb fb fb fb fb

11 RAMD tumpaskan cubaan seludup rokok dan bawang bernilai RM832,500 di Serikin

FOTO TENTERA DARAT MALAYSIA

KUCHING, 17 November - Kecekapan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok dan bawang bernilai keseluruhan RM832,500 di kawasan sempadan Serikin, Bau, pada Isnin.

TDM menerusi satu kenyataan memaklumkam, dalam kejadian sekitar pukul 5.45 petang itu, pasukan 11 RAMD yang bertugas di bawah Operasi KERIS PARANG mengesan pergerakan mencurigakan beberapa lori menggunakan laluan tidak diwartakan dari arah Indonesia ke kawasan kampung berhampiran.

"Susulan tindakan pantas anggota, empat lelaki dipercayai terlibat, seorang rakyat Malaysia dan tiga warga Indonesia berjaya ditahan tanpa sebarang insiden.

"Pemeriksaan lanjut menemui 21,600 karton rokok jenama Gudang Gading bernilai RM648,000, serta 900 guni bawang bernilai RM31,500. Turut dirampas empat lori pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM153,000.

"Kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut mengikut undang-undang," menurut kenyataan tersebut.

TDM berkata, kejayaan itu membuktikan tahap kesiapsiagaan anggota di kawasan operasi serta kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain, sekali gus menutup satu lagi ruang eksploitasi sindiket penyeludupan di sempadan darat Sarawak.

1711 SWK RAMD SELUDUP BAWANG123FOTO TENTERA DARAT MALAYSIA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE