KUBANG PASU, 17 November - Cubaan menyeludup 16.2 kilogram bunga ganja bernilai lebih RM580,000 berjaya dipatahkan Polis Kedah dalam satu operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Penguasa Polis (Supt) Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejayaan itu susulan penahanan sebuah kereta tempatan berwarna putih yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun kira-kira pukul 5.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan sebuah beg bagasi hitam di bahagian bonet yang mengandungi 10 bungkusan plastik hitam dan 10 bungkusan plastik lutsinar berisi daun kering disyaki bunga ganja seberat 16,208.23 gram dengan nilai anggaran RM583,500.
“Hasil soal siasat mendapati suspek meletakkan kereta tersebut berdekatan sebuah pusat beli-belah di Bukit Kayu Hitam sebelum masuk ke Thailand menaiki teksi pada 9 November dan kembali ke Malaysia pada 14 November.
“Sepanjang tempoh itu, kereta S70 berkenaan berada di Malaysia. Selepas kembali semula, suspek mengambil kenderaan itu, masuk ke Thailand dan menerima dadah daripada seorang lelaki Thailand untuk diseludup ke Malaysia. Kereta tersebut pula disewa di Johor dan dipercayai dadah ini akan dibawa ke Johor untuk diedarkan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.
Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan belum berkahwin itu dipercayai menerima upah kira-kira RM2,000 untuk membawa masuk bekalan dadah berkenaan.
Beliau turut memaklumkan suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama enam hari sehingga 20 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika disabit kesalahan.