fb fb fb fb fb

106 warga asing ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

Warga asing yang diperiksa dalam Op Taring Nyah II di Pasar Borong Kuala Lumpur awal pagi tadi/FOTO Polis

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Seramai 106 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dalam serbuan Op Taring Nyah II di Pasar Borong di sini hari ini.

Dalam serbuan 4.30 pagi itu, seramai 103 lelaki dan tiga wanita ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan India.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata serbuan itu bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Kuala Lumpur serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Tiada sebarang rampasan barangan peribadi terhadap pati yang ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Semua Pati memberikan kerjasama baik sepanjang serbuan dilakukan dan tiada sebarang pergelutan dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua warga asing yang ditahan diserahkan kepada JIM untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3), Seksyen 6 (1)(c), serta Seksyen 15 (4), Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi berkenaan pada masa akan datang.

GRACE AISYAH KEDAYAN