fb fb fb fb fb

10 remaja mangsa eksploitasi seks diselamatkan Imigresen

Mereka turut menjadi mangsa penipuan pekerjaan dengan tidak dibayar gaji atau upah, dikawal pergerakan dan pasport dipegang pihak lain

PUTRAJAYA, 3 Mei - 10 remaja perempuan warga asing bawah umur yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ia hasil serbuan ke atas sebuah premis spa dan pusat urut di Johor Bahru, Johor, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mendedahkan, enam daripada mangsa yang diselamatkan merupakan warga Vietnam.

Manakala empat lagi mangsa, warga Indonesia.

Mereka turut dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan dengan tidak dibayar gaji atau upah, dikawal pergerakan dan pasport dipegang pihak lain.

"37 wanita warga Vietnam dan 16 wanita warga Indonesia ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran yang ditawarkan melalui aplikasi WeChat dan WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Bayaran yang dikenakan dianggarkan antara RM200 sehingga RM300 sejam, bergantung kepada pakej dan tempoh perkhidmatan.

Mereka dipercayai mampu meraih keuntungan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Turut ditahan, tujuh lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis, 'kapten' atau penjaga wanita warga asing tersebut.

Selain itu, 11 lelaki terdiri daripada rakyat Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang merupakan pekerja pembersihan di premis tersebut, ditahan.

"Mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan.Manakala kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi siasatan lanjut. 'Kapten' turut disiasat," jelas beliau lagi.

Orang awam diseru terus menyalurkan maklumat kepada JIM jika mengesan sebarang kegiatan eksploitasi warga asing.

Ia bagi membolehkan tindakan segera dan tegas diambil untuk membanteras jenayah berkenaan.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR