fb fb fb fb fb

Ziana Zain Konsert 2024 memukau 5,000 peminat

Ziana Zain Konsert 2024 di Mega Star Arena di sini, malam tadi.

KUALA LUMPUR, 26 Mei- Selepas 21 tahun tidak mengadakan konsert, penyanyi tersohor, Ziana Zain tampil memukau lebih 5,000 peminat pada Ziana Zain Konsert 2024 di Mega Star Arena di sini, malam tadi.

Kehadiran ramai peminat dari beberapa negara lain seperti Brunei dan Singapura membuatkan penyanyi berusia 56 tahun itu berasa sangat dihargai.

"Saya sangat terharu dengan setiap sokongan daripada peminat lebih-lebih lagi ada yang ‘terbang’ dari pelbagai negara lain.

“Kehadiran mereka juga merupakan satu apresiasi paling besar buat saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya.

Ziana menyampaikan 20 buah lagu popularnya dalam konsert yang berlangsung selama tiga jam di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito.

Antara lagu popular yang didendangkan ialah Madah Berhelah, Berpisah Jua, Kemelut Di Muara Kasih dan Anggapanmu.

Dalam pada itu Ziana berkata beliau menjadikan penyanyi-penyanyi lain sebagai inspirasi untuk terus mengadakan konsert pada masa akan datang.

" Saya ni bersemangat bila tengok rakan artis lain seperti Ella, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang adakan konsert demi konsert. Itu yang
memberi kata inspirasi untuk kita bersama-sama menjayakan lagi konsert ini," katanya.

Antara momen yang berjaya mencuri perhatian peminat pada konsert itu apabila bapa Ziana iaitu Zain Abdullah membuat panggilan video dengannya.

Menurut Ziana, panggilan video sebegitu bukan perkara aneh sepanjang bergelar artis kerana bapanya tidak pernah terlepas daripada mengambil berat tentang karier seni anak-anak sehingga ke hari ini.

"Meskipun saya sudah berusia 56 tahun, abah sentiasa akan pantau setiap perkara berkaitan kerjaya seni.

“Boleh bayangkan pada usia sekarang, seorang ayah yang sudah berumur 83 tahun akan sentiasa ‘check‘ keadaan anaknya.

“Betapa prihatin dan risaunya ibu dan bapa pada saya,” katanya pada sidang akhbar selepas konsertnya di sini, semalam.

Ujar Ziana, bapanya sangat gembira dan teruja melihat dia membuat persembahan solo di pentas semalam.

Dalam keriuhan dan kemeriahan konsert tersebut , Ziana beberapa kali menitiskan air mata ketika berkongsi kisah pahit manis perjalanan sepanjang bergelar anak seni.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI