fb fb fb fb fb

Komposer 'SOT' filem Disney, Richard Sherman meninggal dunia pada usia 95 tahun

Richard Sherman

LOS ANGELES, 26 Mei- Richard Sherman, komposer runut bunyi dalam filem Disney klasik seperti "Mary Poppins" dan "The Jungle Book" meninggal dunia pada Sabtu pada usia 95 tahun.

Dia meninggal dunia di Beverly Hills akibat sakit tua, kata Disney.

Sherman dan abangnya Robert, yang meninggal dunia pada 2012, bekerja sebagai komposer untuk Disney antara 1960 dan 1973.

Pada masa itu mereka menulis lebih daripada 200 lagu untuk 27 filem dan produksi televisyen.

Majalah Hollywood Variety menggambarkan peranan mereka sebagai "pekerjaan yang kini tidak lagi wujud: penulis lagu dalaman untuk studio."

Dalam satu kenyataan, Disney menggambarkan Richard Sherman sebagai 'ahli utama' dalam lingkaran dalaman bakat kreatif pengasas Walt Disney.

Antara karya pasangan adik-beradik itu termasuk "Chim Chim Cher-ee," hit daripada filem 1964 "Mary Poppins," yang memenangi Oscar untuk lagu terbaik. Mereka juga memenangi Anugerah Akademi untuk skor terbaik untuk filem berkenaan.

Robert Sherman menulis lirik dan Richard, mengarang muzik, mengikut jejak langkah bapa penulis lagu mereka Al Sherman.

"Kami sentiasa berterima kasih atas tanda yang ditinggalkan Richard di dunia, dan kami mengucapkan takziah kepada keluarganya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Disney Bob Iger dalam satu kenyataan.

Adik beradik itu juga bertanggungjawab untuk lagu hits seperti "It's a Small World" dan "I Wan'na Be Like You" daripada "The Jungle Book," serta mengarang skor untuk karya bukan Disney seperti "Chitty Chitty Bang Bang" pada tahun 1968. "

"Karya kedua-duanya kekal sebagai identiti utama Walt Disney," kata syarikat itu.

Mereka terus bekerjasama dengan Disney sepanjang tahun, dengan Richard Sherman menulis lirik baharu untuk versi aksi langsung "The Jungle Book" pada 2016 dan mengarang lagu untuk "Christopher Robin" pada 2018.

Dia "secara harfiah adalah sumber cerita, fakta, anekdot, dan cebisan segala yang telah berlaku," kata pelakon Tom Hanks pada 2013.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE