KUALA LUMPUR, 29 Mei - Pasangan tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal baru-baru ini selamat melangsungkan perkahwinan mereka semalam.
Mohd Azlan Ishak,36, dan Nor Hidayu Halim, 34, dinikahkan Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Alor Setar Kedah selepas solat Asar.
Azlan dan Hidayu selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.
Kedua-dua pasangan sedondon memakai baju putih dan Hidayu menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.
Muhammad Hazamer yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota berharap masyarakat tidak berkata yang buruk tentang status perkahwinan mereka serta memberikan sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan baharu.
Hazamer turut berharap pasangan itu menyelesaikan urusan nasab anak mereka selesai urusan akad nikah.
Sebelum ini, kisah pasangan ini mendapat perhatian orang ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kisah bermula apabila rakaman video pasangan itu yang menaiki motosikal membawa seorang kanak-kanak yang memakai alat bantuan pernafasan yang disimpan dalam beg sandang tular di beberapa platform media sosial.