fb fb fb fb fb

YUVAN 25 - Live in concert in KL bakal diadakan pada 16-17 Julai

(Penyanyi, penulis lagu dan komposer muzik Tamil, Yuvan Shankar Raja/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Penganjur konsert di negara ini giat menyambung semula pelancongan muzik untuk memulihkan industri pelancongan tempatan pasca pandemik, dengan konsert antarabangsa India pertama dijadual diadakan pada Julai.

Malik Streams Corporation Sdn Bhd akan menganjurkan konsert yang menampilkan penyanyi, penulis lagu dan komposer muzik Tamil, Yuvan Shankar Raja di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada 16 hingga 17 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer, berkata sambutan amat menggalakkan dengan 9,000 tiket habis dijual dalam masa kurang dua jam untuk konsert hari pertama.


(Yuvan Shankar Raja bergambar selepas sidang akhbar
‘Yuvan 25- Live in Concert Kuala Lumpur’, di Kuala Lumpur, 6 Jun 2022/BERNAMA)

“Berikutan sambutan luar biasa yang diterima kita putuskan untuk konsert itu diadakan selama dua hari.

“Pada hari kedua, konsert itu akan menampilkan konsep yang berbeza daripada yang pertama, iaitu lebih kepada suasana parti,” katanya pada sidang media sempena Yuvan 25 - Live in Concert Kuala Lumpur di sini.

Yuvan turut hadir pada sidang media itu.

Tiket untuk hari kedua boleh didapati mulai 2.00 petang mulai 8 Jun di www.myticket.asia.

Harga tiket bermula dari RM105 sehingga RM2,500.-BERNAMA

Media Baharu