BAGAN DATUK, 7 Jun - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan membuat pertemuan bersama penggiat muzik tanah air terlebih dahulu bagi menyelesaikan isu dihadapi antaranya berkaitan pembayaran royalti dan kebajikan.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pertemuan itu dibuat sebelum pihak kementerian mengambil langkah seterusnya.
Jelas beliau penggiat industri muzik ketika ini tidak mempunyai badan khusus yang menyelaras kebajikan mereka seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang ditumpukan kepada pelakon.
"Masih ada yang tidak dapat kita penuhi. Ada artis-artis yang tidak puas hati dengan persatuan-persatuan mereka. Jadi kita akan adakan perjumpaan dengan artis, kita nak tahu apa cara dan kehendak mereka.
(Zahidi bercakap kepada media selepas
melawat penyanyi Datuk M. Daud Kilau di rumahnya, di sini hari ini)
"Kita akan berjumpa untuk memberikan pandangan sebelum tubuh perbadanan industri muzik ini. Apa cadangan mereka mahukan, contohnya kalau mereka tidak puas hati nak rujuk terus dengan kementerian atau bagaimana yang mereka mahukan. Kita akan dengar," kata Zahidi di sini.
Ketika ini tiga badan mengutip royalti muzik iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Berhad dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).