KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Sal Priadi, bakal menghiburkan para peminatnya di Malaysia pada 13 Oktober ini.
Sal Priadi yang popular dengan lagu hitnya ‘Gala Bunga Matahari meluahkan keterujaannya membuat persembahan buat kali pertama di Malaysia dalam siri jelajahnya, ‘Sal Priadi Zuzuzaza Tur 2024’.
"Saya akan mempersembahkan lagu-lagu dari album kedua saya, ‘Markers & Such Pens Flashdisks,’ yang menggambarkan semangat kreativiti dan keyakinan untuk menghasilkan karya yang bermakna,"katanya.
Konsert tersebut akan berlangsung di dewan Zepp Kuala Lumpur pada pukul 8:00 malam dan dianjurkan oleh syarikat penganjur terkenal, Kharisma Music.
Beliau juga berkongsi pengalaman berharga semasa kunjungannya ke Kuala Lumpur tahun lalu.
"Kuala Lumpur mempunyai makna yang istimewa dan dekat di hati saya. Selepas melakukan showcase album tahun lalu, saya ingin berkongsi pengalaman tersebut dengan peminat melalui konsert yang lebih besar," katanya lagi.
Sal Priadi akan mempersembahkan hampir 20 lagu sepanjang dua jam konsert itu yang diambil daripada kedua-dua albumnya.
Peminat boleh mendapatkan tiket konsert ‘Sal Priadi Zuzuzaza Live in Kuala Lumpur’ menerusi
laman web ticket2u.com.my/sal-priadi.