fb fb fb fb fb

RTM menerusi Pekan Kecil Kampung Terpencil menang lima anugerah

Drama Pekan Kecil Kampung Terpencil menggunguli lima anugerah dalam Anugerah Telenovela dan Buku Negara 2024 kali ke-9

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Unit Drama TV (UDTV) menang lima anugerah dalam Anugerah Telenovela dan Buku Negara 2024 kali ke-9.

Kelima-lima kemenangan itu diperoleh daripada drama berjudul Pekan Kecil Kampung Terpencil yang turut meraih kategori Drama Terbaik.

Pengarah dan Penulis Skrip Wan Afzam Wan Daud diumum pemenang bagi dua kategori iaitu Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik.

"Selepas ini pastinya saya bekerja keras untuk menghasilkan karya terbaik untuk RTM," katanya ketika ditemui pemberita RTM.

Manakala dua lagi kategori menjadi milik Izhar Masuri (Penyunting Terbaik) dan Radzuan Romli (Pengarah Seni Terbaik).

"Harapan saya sama seperti Pengarah Wan Afzam," kata Izhar.

Radzuan Romli pula menyifatkan kemenangan pertama bagi dirinya itu adalah kejayaan bersama-sama Wan Afzam yang dianggap sebagai gurunya dalam drama itu.

"Alhamdulillah, ini kemenangan pertama bersama-sama dengan 'Tok Guru' (Wan Afzam) yang juga merupakan 'sifu' saya. Terima kasih," katanya.

Sementara itu bagi Penolong Pengarah Unit Drama TV RTM Sarena Mohd Salleh kejayaan itu adalah disebabkan kerja berpasukan yang baik.

"Ini adalah kerja berpasukan. Kita menang besar malam ini dengan lima anugerah. Ini adalah insan-insan hebat.

"Sebenarnya mereka yang bersusah payah dan bekerja keras untuk menghasilkan karya terbaik untuk RTM," katanya.

Pekan Kecil Kampung Terpencil diadaptasi daripada empat naskah buku pantun keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kurik Kundi.

Drama itu diterajui pelakon Fathil Dani, Raja Ema, Bohari Ibrahim, Dewa Sapri, Mubarak Majid, Che Kem, Bell Ngasri dan Noorkhiriah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI