fb fb fb fb fb

DJ Sonic bangga dalam top 10 kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 37

DJ Sonic

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - “Top 10 ini pun sudah cukup bagus. Tiga tahun konsisten saya tercalon, dan satu-satunya wakil RTM, jadi saya perlu bangga dengan diri sendiri atas pencapaian ini," kata penyampai radio RTM, Nasional FM, DJ Sonic yang mara ke peringkat seterusnya bagi kategori Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 37. 

Menurut pemilik nama Awang Suffian Awang Hussein, 46, walaupun pesaing kali ini terdiri daripada nama-nama besar dalam industri, beliau tetap berbangga dengan kelebihan dan keunikan penyampai radio RTM yang sentiasa dilatih menjadi penyampai profesional dan beretika.

“Kita kena jaga segala perkara, ketika bersiaran. Kita bukan sekadar mengejar kandungan radio, tetapi keutamaan dalam menyampaika mesej tepat dan sahih kepada rakyat. Kami ini penghubung antara kerajaan dan rakyat, jadi kena faham misi utama sebagai DJ radio,” katanya ketika dihubungi RTM.

Ketika menceritakan perjalanan kariernya, DJ Sonic mengakui kerjaya sebagai DJ radio merupakan impian sejak kecil. 

“Inilah kerjaya impian saya! Sebelum ini saya juga pernah jadi cikgu dan eksekutif pemasaran di sebuah kolej di Sarawak. Demi mengejar cita-cita dan minat, saya tinggalkan semuanya. Keluarga memang sokong keputusan saya. Sampai sekarang saya belum terfikir nak berhenti jadi DJ radio,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dalam ABPBH 37, Sonic mengakui undian merupakan faktor utama penentu kemenangan pada edisi kali ini. 

“Cabaran utama apabila masuk pertandingan undian sepenuhnya ini ialah mengajak orang ramai untuk mengundi. Sebaik mana pun DJ itu, sekiranya tiada undian, peluang untuk menang sememangnya tipis,” jelasnya.

1610 HBN SONICTOP10
DJ Sonic

Dalam pada itu, DJ Sonic turut berkongsi masa sukarnya melawan tekanan emosi dan kemurungan selepas kehilangan ayah tercinta. 

“Setahun saya alami kebimbangan (anxiety) dan kemurungan. Tetapi Alhamdulillah, sekarang saya semakin pulih. Terima kasih kepada doktor dan jururawat yang jaga saya. Setiap bulan saya masih jalani terapi untuk pulihkan semangat,” luahnya.

Mengakhiri perbualan, anak kelahiran Kapit, Sarawak itu turut meluahkan penghargaan kepada semua penyokong termasuk peminat dari dalam dan luar negara. 

“Terima kasih semua yang undi saya. Kalau menang, ini bukan untuk saya, tapi untuk kita semua. Paling tak sangka, penyokong Fazura pun turut undi saya! Termasuk geng Tapping-Tapping 3 Suara Nasionalfm dan pendengar Brunei — terima kasih atas sokongan yang luar biasa,” katanya penuh terharu.

Pada edisi ABPBH 37 DJ Sonic sekali lagi menjadi satu-satunya wakil RTM yang berjaya mara ke peringkat tersebut, bersaing dengan nama-nama besar dunia radio tanah air seperti AG, Cik Piah, DJ Lin, Fara Fauzana, Haiza, Johan, KJ, Radin dan Sharifah Shahirah.

Mengemudi segmen Nasional Pagi, 3 Suara di NasionalFM bersama DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai, DJ Sonic bukanlah nama asing dalam kategori ini. 

Beliau pernah menempatkan diri dalam lima penyampai radio paling popular pada ABPBH edisi ke-35 dan ke-36, malah dua tahun berturut-turut sebelum ini menduduki Top 5.

Untuk rekod, kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 36 sebelum ini dimenangi oleh KJ, dengan DJ Sonic turut berada dalam senarai calon bersama Haiza, Sharifah Shahirah dan Tyzo.

Undian bagi kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 37 boleh dilakukan menerusi pautan https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular.

Masihkah DJ Sonic, calon tunggal RTM ini, sekali lagi menempatkan diri dalam lima penyampai radio paling popular pada edisi ABPBH 37? Sama-sama kita nantikan keputusannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN :

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI