fb fb fb fb fb

Paul McCartney terbit dokumentari baharu, kehidupan selepas The Beatles

Paul McCartney/ REUTERS

LONDON, 28 Oktober - Legenda muzik Paul McCartney menambah satu lagi pencapaian dalam kerjayanya yang panjang apabila mengumumkan penerbitan sebuah dokumentari baharu mengenai kehidupannya selepas era The Beatles.

Dokumentari bertajuk "Man on the Run" itu akan ditayangkan di pawagam terpilih dan boleh dimuat turun menerusi platform Prime Video Amazon bermula 25 Februari.

Ia akan mengisahkan perjalanan hidup penyanyi berusia 83 tahun itu selepas The Beatles berpecah, termasuk penubuhan kumpulan Wings bersama mendiang isterinya, Linda.

Menerusi treler yang dikeluarkan pada Isnin, McCartney berkata, "The Beatles telah berpecah dan saya berfikir, apa yang harus saya lakukan sekarang?Bagaimana saya boleh lakukan sesuatu yang setanding dengan The Beatles?

"Saya buat pertama kali bersendirian, jadi saya perlu melihat ke dalam diri sendiri. Maka saya menubuhkan sebuah kumpulan baharu.

"Saya fikir kami perlu bermula dari kosong. Ia adalah teka-teki yang perlu saya rungkaikan," katanya.

Amazon MGM dalam kenyataan memaklumkan, dokumentari itu merakam perjalanan kerjaya solo McCartney ketika beliau berdepan pelbagai cabaran dalam mencipta muzik baharu untuk mendefinisikan dekad seterusnya.

Ia turut menjanjikan akses luar biasa kepada rakaman yang tidak pernah disiarkan serta arkib langka dalam usaha menampilkan era transformasi McCartney selepas The Beatles menerusi perspektif lebih peribadi dan jujur.

Dokumentari hampir dua jam itu diarahkan Morgan Neville, dan merupakan sebahagian daripada kerjasama baharu antara McCartney, Universal Music Group dan Amazon yang turut merangkumi muzik eksklusif serta barangan rasmi.

Pengumuman itu dibuat ketika buku terbaharu McCartney bertajuk "Wings: The Story of a Band on the Run" dijadual diterbitkan pada 4 November.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI