KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Tidak ramai yang tahu, nama pentas DJ Sonic Hussien yang kini dikenali seluruh negara lahir daripada kelebihan semula jadi beliau – boleh bercakap laju dan berentak seperti rap.
Ketika menuntut di Universiti Teknokogi MARA (UiTM) Sarawak, seorang pensyarah mencadangkan agar pemilik nama sebenar Awang Suffian Awang Hussein, 45 menggunakan nama 'Sonic' – diinspirasikan daripada watak animasi popular Sonic the Hedgehog yang berlari pantas, seiring dengan gaya pertuturannya pantas dan penuh karakter.
"Rambut saya masa itu pun tegak macam Sonic. Jadi saya terus buat penjenamaan diri sebagai Sonic untuk nilai komersial. Tak sangka jenama itu menjadi. Itu anugerah Allah yang jadi kekuatan saya," katanya ketika dihubungi RTM.
Pada tahun 2021, selepas pandemik COVID-19, beliau melakukan penjenamaan semula dengan menambah nama bapanya, menjadikan 'Sonic Hussien' sebagai identiti rasmi.
"Saya letakkan nama bapak sebab dalam diri saya, ada bapak saya. Ke mana saja saya berada, semangat bapak sentiasa bersama saya walaupun beliau sudah tiada. Saya bangga dengan jenama ini, dan ia akan kekal sampai bila-bila," ujarnya penuh emosi.
Bermula 1999 – Sonic Selami Bidang Penyiaran
Minat mendalam terhadap dunia penyiaran mula bercambah sejak 1999, ketika beliau masih bergelar pelajar universiti. Sambil mengikuti pengajian di UiTM Sarawak, beliau bekerja sambilan di radio sebagai penyampai sambilan – mula memasuki konti radio, menjaga panel dan mempelajari selok-belok dunia penyiaran secara praktikal.
"Sejak 1999 saya dah mula berjinak-jinak dalam bidang ini. Sambil belajar, saya buat kerja sambilan sebagai penyampai radio. Dari situlah jiwa saya terikat dengan radio," katanya.
Kini, selepas lebih dua dekad dalam industri, beliau kembali mencipta sejarah apabila mara ke pencalonan Top 10 Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 37, untuk tahun ketiga berturut-turut.

DJ Sonic Hussien
Tiga Tahun Berturut-turut, Dua Kali Tembus Top 5
Percubaan kali ketiga ini bukan sekadar pencalonan biasa buat anak kelahiran Kapit, Sarawak itu, sebaliknya menjadi detik besar buat warga RTM.
"Ini impian saya dan semua yang tercalon. Bukan mudah, tapi saya yakin dengan usaha yang dilakukan, semuanya tidak mustahil. Rekod tiga tahun berturut-turut tercalon, malah dua tahun Top 5, mengatasi nama-nama besar industri, itu pencapaian utama bagi saya.
"Saya bekerja di radio yang populariti bukan keutamaan. Jadi apabila saya disenaraikan dalam senarai itu dan berada sebaris dengan nama besar dalam kategori tersebut, ia merupakan satu penghormatan besar," jelasnya.
Lebih membanggakan, beliau mendedahkan tidak menjangka memiliki pengikut setia dalam senyap.
"Saya sendiri terkejut, rupanya saya ada pengikut sendiri yang mengikuti segmen 3 Suara yang dikendalikan bersama Dj Nazri dan DJ Dyya Nawai," katanya.
Menurutnya, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengarah Bahagian Program Radio Saifuzzaman Yusop, Pengurus Nasional FM Salbiah Mohd Sharif dan seluruh pengurusan tertinggi memberi sokongan penuh terhadap pencalonan beliau.
Pengundi pula bukan hanya datang dari Malaysia, tetapi termasuk peminat dari Brunei, serta kumpulan peminat Fazura yang turut membantu dalam tempoh pengundian.
"Undian ini bukan tentang berapa lama saya jadi DJ atau pencapaian bertahun-tahun, tapi ia bergantung sepenuhnya kepada undian. Jadi teruskan mengundi. Untuk menang, kita kena lepasi Top 5 dahulu. Insya-Allah," katanya.
Semangat, dedikasi seorang penyampai radio bernama Sonic Hussien bukan sahaja mencerminkan perjalanan luar biasa seorang penyampai radio sebuah stesen radio kerajaan, tetapi juga simbol harapan baharu buat RTM dalam mencipta detik sejarah di pentas hiburan tanah air.
Masihkah Sonic Hussien mempunyai tempat dalam Top 5 dalam kategori Penyampai Radio Popular pada edisi ABPBH 37, saksikan keputusannya nanti.
Proses pengundian ABPBH 37 bagi kategori Penyampai Radio Popular boleh dilakukan menerusi pautan https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular.