NEW YORK, 17 Oktober - Gitaris asal kumpulan rock legenda KISS, Ace Frehley, dilaporkan meninggal dunia pada usia 74 tahun, menurut laporan beberapa media.
Akhbar Los Angeles Times melaporkan kematian Frehley disahkan oleh MNRK Music Group.
Majalah Rolling Stone pula memetik kenyataan keluarganya yang memaklumkan Frehley meninggal dunia di Morristown, New Jersey.
Menurut LA Times, Frehley sebelum ini mengalami kecederaan akibat terjatuh bulan lalu dan telah membatalkan beberapa siri jelajahnya.
Ace Frehley, atau nama penuhnya Paul Daniel Frehley, merupakan salah seorang pengasas asal kumpulan rock ikonik Amerika Syarikat, KISS, yang ditubuhkan pada tahun 1973 bersama Paul Stanley, Gene Simmons dan Peter Criss.
Beliau dikenali sebagai ‘Spaceman’ atau ‘Space Ace’ kerana persona pentasnya yang unik lengkap dengan solekan bertemakan angkasa. Gaya permainan gitarnya yang bertenaga dan sarat dengan riff serta solo beremosi menjadi antara tunjang utama identiti bunyi KISS pada era 1970-an.
Frehley meninggalkan kumpulan itu pada tahun 1982 untuk memulakan kerjaya solo dan menubuhkan kumpulan Frehley’s Comet.
Sepanjang kerjayanya, Frehley diiktiraf sebagai antara gitaris rock paling berpengaruh, dengan ramai pemuzik generasi baharu menjadikan beliau inspirasi utama. Album solonya yang pertama pada tahun 1978, juga berjudul Ace Frehley, dianggap antara keluaran solo terbaik daripada mana-mana anggota KISS.-REUTERS