KUALA LUMPUR, 21 Februari- Penyanyi, penulis lirik dan komposer Aina Abdul terus melakar sejarah dalam industri muzik tanah air apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Diva Terulung dalam KNKV Viral Award 2024 atas pencapaian yang penuh inspirasi sepanjang sedekad kariernya.
Aina, 30 menyifatkan anugerah itu merupakan inisiatif terbaik dalam memberi ruang kepada pempengaruh serta penggiat seni dalam apa jua bidang.
"Saya rasa program seperti ini akan membuatkan lebih ramai pengkarya di luar sana lebih bekerja keras sebab ingin menerima anugerah ini. Diharapkan anugerah seperti ini akan ada lagi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui RTM.
Sebanyak 36 anugerah dipertandingkan daripada tiga segmen iaitu tujuh anugerah Viral Laureate, 16 anugerah Gold dan enam anugerah Premier.
Anugerah Viral KNKV merupakan platform bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pempengaruh media sosial dan juga pengkarya seni yang memberi kelainan dan impak positif kepada masyarakat serta industri seni.
Anugerah itu berlangsung semalam di Zepp Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2.