PRISTINA, 27 November- Bintang pop Britain, Rita Ora tiba di tanah kelahirannya, Pristina Kosovo pada Ahad untuk meraikan hari jadinya, bagi memberi penghormatan kepada tanah airnya.
Video yang dikongsi oleh Datuk Bandar Pristina Perparim Rama menunjukkan Ora menyentuh tanah dan menggerakkan tangan ke arah dadanya sambil tersenyum lebar sejurus selepas turun dari pesawat.
Keluarga penyanyi itu yang merupakan etnik Albania meninggalkan Kosovo pada 1991 untuk melarikan diri daripada penindasan yang dikenakan oleh pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic selepas dia melucutkan autonomi wilayah itu.
Pada tahun 1998, perang meletus antara pemberontak etnik Albania Kosovo dan tentera Serbia yang menyebabkan 13,000 orang terbunuh, kebanyakannya orang Albania.
Belgrade menarik balik tenteranya pada tahun berikutnya selepas kempen pengeboman NATO terhadap Serbia, dan Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008.
Selepas tiba di Pristina, Ora turut berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri Kosovo Albin Kurti dan berkata "perjalanan dan pertemuan ini membuatkan saya begitu teruja dengan masa depan".
"Ini adalah cara yang luar biasa untuk meraikan hari lahir saya. Saya berusia 33 tahun hari ini dan saya fikir kami telah melakukan usaha yang memberi inspirasi setakat ini," kata Ora dalam video yang disiarkan Kurti di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Orti turut berterima kasih kepada Ora kerana menjadikan Kosovar "sangat bangga sebagai rakyat, sebagai negara".
Rita Ora dilantik sebagai 'duta' Kosovo, begitu juga dengan Dua Lipa. Kedua-duanya bercakap dengan bangga tentang asal usul Kosovo mereka dan tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan kemerdekaannya.
Pada 2018, Ora menjadi tumpuan konsert untuk meraikan 10 tahun sejak Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia, apabila beribu-ribu penduduk Kosovar memenuhi dataran utama ibu kota yang diliputi warna biru dan kuning bendera.
Kosovo masih bergelut untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa kerana Belgrade bersama sekutu utama China dan Rusia masih enggan mengiktiraf langkah itu, sekali gus menghalang Pristina daripada menduduki kerusi di Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB.-AFP