fb fb fb fb fb

'Profesor McGonagall', Maggie Smith meninggal pada usia 89 tahun

Maggie Smith memainkan watak sebagai Profesor McGonagall dalam filem "Harry Potter"

LONDON, 27 September - Pelakon terkenal dalam filem Harry Potter, Maggie Smith meninggal dunia pada usia 89 tahun hari ini.

Maggie seorang legenda pemenang Oscar yang terkenal dalam dunia teater dan perfileman.

Sepanjang kerjayanya lebih 60 tahun, beliau meraih pelbagai anugerah, termasuk dua Oscar, tiga Golden Globe, lima Bafta, dan Tony.

Wataknya sebagai Profesor McGonagall dalam filem "Harry Potter" dan Countess Dowager dalam "Downton Abbey" menjadikannya antara bintang yang paling disayangi di Britain.

Lahir pada 28 Disember 1934, Maggie memulakan kariernya di pentas teater sebelum meraih kejayaan besar dalam filem.

Beliau memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik menerusi "The Prime of Miss Jean Brodie" (1969) dan Pelakon Pembantu Terbaik dalam "California Suite" (1978).

Kejayaan besarnya disusuli dengan menerima anugerah dalam bidang teater dan perfileman serta dianugerah gelaran Dame pada tahun 1990 sebagai tanda pengiktirafan kepada sumbangannya dalam bidang seni.

Maggie turut dikenali kerana dedikasinya untuk meneruskan penggambaran "Harry Potter and the Half-Blood Prince" (2009) meskipun pada ketika itu dia menjalani rawatan kemoterapi akibat kanser payudara pada tahun 2007.

Selain itu, beliau juga menghidap penyakit Graves, iaitu masalah tiroid sehingga menyebabkan beliau keletihan, menurun berat badan serta degupan jantung yang tidak normal.

Maggie meninggalkan dua orang anak, iaitu pelakon Chris Larkin dan Toby Stephens. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN