KUALA LUMPUR, 12 April- Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan muncul pasukan ke-11 terbaik Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Wanita selepas membelasah Zimbabwe 7-2 pada perlawanan penentuan tempat ke-11 dan ke-12 di Potchefstroom, Afrika Selatan, semalam.
Bagaimanapun, pasukan kendalian ketua jurulatih Nasihin Nubli Ibrahim itu terpaksa bangkit dua kali sebelum berjaya menewaskan skuad dari benua Afrika dalam pertemuan berlangsung di Universiti North-West itu.
Zimbabwe terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang oleh Tinodiwanashe Elijah pada minit kedua, sebelum jaringan padang Siti Nur Arfah Mohd Nor menyamakan kedudukan buat Malaysia lapan minit kemudian.
Pasukan lawan kembali berada di depan menerusi gol padang oleh Alexi Terblanche pada minit ke-15, namun kedudukan kembali terikat 2-2 apabila Nur Insyirah Effarizal menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.
Jaringan Nur Insyirah itu ternyata menyuntik rakan sepasukannya apabila Malaysia berjaya mendahului buat kali pertama selang seminit selepas itu menerusi jaringan penalti strok oleh Nuramirah Shakirah Zulkifli.
Pesta gol skuad negara diteruskan dengan jaringan padang oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-39, diikuti gol pukulan sudut penalti oleh Dayang Nuramirah Abang Mahadini pada minit ke-41.
Malaysia terus mengganas apabila Nuramirah Shakirah sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Zimbabwe dengan jaringan kedua peribadinya, kali ini menerusi gol padang pada minit ke-48, sebelum jaringan ketujuh Khairunnisa Ayuni Mohd Sharudin, yang berpunca daripada pukulan sudut penalti lima minit kemudian menutup kempen sulung skuad negara dalam kejohanan itu dengan kemenangan bergaya.
Sementara itu, Nasihin menyifatkan pengalaman dan pendedahan tertinggi yang dimiliki anak-anak buahnya telah dilalui dengan baik, selain pemain telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Usaha yang telah ditunjukkan oleh pemain sangat bagus dan mereka memberikan segalanya, serta mengikuti struktur perlawanan yang dirangka dengan sebaiknya.
(Foto fail)
“Terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang telah banyak membantu dalam menganalisa perlawanan dan terima kasih Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), di atas kepercayaan kepada pasukan muda ini,” katanya.
Terdahulu, pasukan negara yang tersingkir daripada saingan kumpulan selepas merekodkan satu keputusan seri dan dua tewas.
Malaysia kemudian berjaya meraih kemenangan pertama dalam kejohanan itu dengan menumpaskan Uruguay 2-1 pada perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga 16, Khamis lepas, namun tumbang 1-2 kepada Ireland dalam aksi klasifikasi kedudukan kesembilan hingga ke-12, pada Sabtu.