fb fb fb fb fb

Pesta Muzik Kuantan: Penampilan khas band Ungu, artis popular tanah air

Bersempena menyambut kepulangan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang.

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Istimewa buat warga Pahang dan Pantai Timur, satu program keraian yang menggabungkan muzik dan kebudayaan setempat dinamakanPesta Muzik Kuantan bakal diadakan, 24 Februari ini di Stadium Darul Makmur Kuantan.

Menurut Pengarah Operasi Pesta Muzik Kuantan, Mohd Abdillah Abu Bakar, penganjurannya bersempena menyambut kepulangan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang pulang ke Pahang selepas menamat tugas Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16.

"Ini adalah cara kita menunjukkan rasa sayang kita, rasa rindu kita kepada Baginda berdua dengan mengadakan sambutan menerusi penganjuran Pesta Muzik Kuantan ini," katanya.

Pesta Muzik Kuantan bakal dimeriahkan dengan penampilan khas band terkenal Indonesia, UNGU dan barisan artis tempatan popular seperti Naim Daniel, Khai Bahar, Ara Johari, Nabila Razali, Eda Ezrin dan Den Manjo.

Menurut Pengarah Syarikat Showpro Entertainment, Datuk Dr Siva Nair, selaku penganjur pihaknya sangat berbesar hati dalam menganjurkan Pesta Muzik Kuantan yang menghimpunkan nama besar dalam industri seni tanah air.

“Dan keraian ini tidak akan lengkap tanpa bintang jemputan terutama kumpulan Ungu yang memang sangat popular di Malaysia.

“Ungu juga tidak pernah mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur secara khusus, maka ia adalah peluang terbaik untuk rakyat jelata negeri Pahang dan dari Pantai Timur datang ke sini menyaksikan persembahan kumpulan ini," katanya.

Tiket sudah mula dijual pada 30 Disember 2023 melalui Ticket 2U dari jam 3.45 petang.

ZEHRA BINTI ZAMBRI