KUALA LUMPUR, 6 Mei- Penyanyi dan pelakon popular era 70-an, Datuk Hail Amir, 76, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, kira-kira jam 3:48 petang tadi.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Abdul Jamil yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi mengesahkan perkara itu.
“Kami (Seniman) sebenarnya baru sahaja ingin melawat beliau di HKL, namun pihak hospital menelefon kami dan memberitahu bahawa beliau telah meninggal dunia,” katanya.
Allahyarham dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jumaat lalu berikutan batuk berpanjangan dan keadaannya lemah.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan separuh sedar dan lemah selepas disahkan mengalami masalah jangkitan paru-paru.
Sebelum ini Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.
Allahyarham yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.
Antara lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya.
Allahyarham juga terkenal di layar perak dengan filem popular lakonannya seperti Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.
Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Safiah Ibrahim dan empat cahaya mata.