fb fb fb fb fb

'Masing Masing' buat Ernie Zakri semakin bersinar di Indonesia

Ernie Zakri

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Penyanyi bersuara merdu, Ernie Zakri bersyukur apabila menerima pengiktirafan daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas cemerlang di peringkat antarabangsa menerusi lagu Masing Masing yang mendapat kerjasama penyanyi dari Indonesia, Ade Govinda.

Akui penyanyi berusia 32 tahun itu, keberadaan lagu Masing Masing di bibir peminat muzik Indonesia juga bukan satu proses mudah.

Namun, beliau bersyukur kerana langkah kecilnya berjaya membawa hasil mengagumkan apabila menjadi artis Malaysia pertama tercalon di anugerah berprestij Indonesia iaitu SCTV Music Awards.

"Sungguh menggembirakan melihatnya bergema dengan pendengar di sana. Terima kasih Indonesia, kerana menerima Masing-Masing dan menjadikannya melonjak di carta radio anda.

" Tak sangka lagu yang saya niatkan untuk peminat di Malaysia juga di terima baik di Indonesia dan saya merasakan usaha ini membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk bekerja lebih keras nak menempa nama saya di Indonesia," katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai perancangan masa hadapan untuk karier seninya di Indonesia, Ernie menjelaskan dia dan syarikat rakaman merancang beberapa agenda yang masih belum boleh dihebahkan.

Masing Masing merupakan lagu kolaborasi antara Universal Music Malaysia dan MyMusic Records yang digubah dan ditulis oleh Ade bersama Nabila V.

Lagu tersebut telah menduduki tangga teratas carta stesen radio di kedua-dua negara, iaitu GEN98.7 FM Jakarta di Indonesia serta Best FM dan Era FM di Malaysia.

ZEHRA BINTI ZAMBRI