KUALA LUMPUR, 6 Meiβ RTM akan menyiarkan program travelog terbaharu 'Syurga Alam Borneo' bermula 12 Mei ini, setiap Ahad, pukul 12.00 tengah hari menerusi saluran Okey.
RTM menerusi kenyataan berkata travelog ini memberikan informasi terkini negeri Sabah yang mempunyai keunikan dan keindahan semulajadinya.
Keunikan di Sabah sangat sinonim dengan tempat-tempat yang kerap menjadi tumpuan utama seperti Gunung Kinabalu, Pulau Sipadan, Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Sepilok β Orang Utan dan pantai-pantai awam.
"Melalui penerokaan ini, hos program Saree Abdullah akan berkongsi info pendedahan bahawa tanah tinggi gunung dan bukit negeri Sabah adalah amat luas dan besar, malah ada lokasi tempatan yang sebenarnya indah dan memiliki kelas dunia tetapi kurang suntikan komersil", menurut kenyataan itu.
"Sabah sebenarnya memiliki banyak tempat pelancongan yang menjadi serta memiliki identitinya yang tersendiri. Antaranya ialah identiti tanah tingginya yang membawa negeri Sabah dengan gelaran The Land Below The Wind.
"Namun, tahu kah kita, falsafah The Land Below The Wind ini tidak hanya merujuk kepada Gunung Kinabalu semata-mata tetapi juga merujuk kepada beberapa profil tanah tinggi yang wujud di Sabah tetapi kurang dikomersilkan.
"Selain untuk kekal menarik dan terus gah dalam pengetahuan masyarakat tempatan, di sebalik kegemilangan Gunung Kinabalu yang dikenali sebagai gunung yang pasif dan tertinggi di Asia Tenggara, Sabah juga memiliki beberapa gunung yang memiliki sejarah gunung aktif suatu ketika dahulu yang masih memiliki kesan sejarahnya seperti Gunung Magdalena, Gunung Lucia, Gunung Maria, Gunung Trusmadi, Gunung Tambuyukon, Gunung Kaingaran, Gunung Tribulation, Gunung Sinsing, Gunung Nungkok, Gunung Sirongol, Gunung Tiger, Gunung Bombalai, Gunung Wakid dan Gunung Emas yang masih kerap dikunjungi pelancong tempatan.
Selain menerusi saluran Okey, penonton juga boleh menyaksikan tayangan travelog ini menerusi RTMKlik.