fb fb fb fb fb

Jenazah Allahyarham Hail Amir selamat dikebumikan hari ini

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Penyanyi dan pelakon popular era 70an, Datuk Hail Amir yang meninggal dunia petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, pukul 11.00 pagi tadi.

Jenazah allahyarham terlebih dahulu diurus dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana pada pukul 10.15 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan sambil diiringi rakan-rakan artis dan peminat.

Menurut anak kepada allahyarham, Cintashafiyana, hajat terakhir allahyarham yang tidak kesampaian untuk main layang-layang bersama cucu-cucunya.

"Hajat terakhir dia, tidak dapat main layang-layang. Ya, dia nak main layang-layang dengan cucu-cucu dia. Kakak sudah pesan. Cepat lah sihat kita nak pergi main layang-layang dengan semua. Terakhir kita berkelah di situ waktu petang," kata Cintashafiyana kepada pemberita.

Penyanyi dan sahabat baik allahyarham, Uji Rashid yang melebihi 50 tahun perkenalan mewakili keluarga allahyarham ucap terima kasih dan maaf.

"Kalau ada silap dan salah atau tidak berapa berkenan, saya mohon maaf. Bukan mereka sahaja akan merindui, saya juga akan merindui dan rasanya peminat-peminat dia juga. Ia adalah kehilangan besar dalam industri muzik tanah air," kata Uji Rashid kepada pemberita.

Lebih 200 orang termasuk rakan artis seangkatan dan ahli keluarga hadir sejak awal pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir buat penyanyi dan pelakon popular era 1970-an itu.

Antara yang hadir ziarah Allahyarham dari masjid hingga ke tanah perkuburan Datuk Yusof Haslam, Datuk Freddie Fernandez, Datuk Dj Dave, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M. Nasir, Datin Salwa Abdul Rahman, Mubarak Majid, Abon dan Zed Zaidi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM