KUALA LUMPUR, 8 Mei - Istana Budaya (IB) kini kembali membawa kegemilangan muzik klasikal barat dengan persembahan seni bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 18 Mei depan.
Persembahan seni bertaraf antarabangsa itu diadakan susulan kejayaannya menerima sambutan hangat dari peminat industri muzik tahun lalu.
Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar berkata, tahun ini IB yang bergerak melalui program Lambang Sari Series (LSS) bertemakan Resilience & Triumph.
Katanya, konsert itu akan dijayakan oleh Orkestra Simponi Kebangsaaan (OSK) yang diketuai oleh Nasran Nawi selaku konduktor dengan penampilan istimewa pemuzik tempatan piano solo Muzaffar Abdullah.
"Nasran akan mengemudi seramai 39 orang pemuzik OSK dan 39 pemuzik jemputan dengan kemunculan figura hebat anak jati Malaysia, Muzaffar yang mana tidak asing lagi di negara-negara Asia dan Eropah.
"Gabungan hebat di bawah pimpinan Nasran ini pasti memberikan rasa teruja penonton dalam menghayati muzik klasikal barat," katanya ketika ditemui media pada Selasa di Istana Budaya, di sini.
Peminat muzik klasikal barat akan disajikan dengan komposisi lagu dari komposer barat terkenal seperti (Roman Carnival Overture, Op.9), Maurice Ravel (Piano Concerto for the Left Hand in D Major, M. 82) dan Jean Sibelius (Symphony No.2 in D Major, Op. 43).
Tiket persembahan dijual dengan harga tiket serendah RM88, RM108, RM180 dan RM280 (suite/perseat).
Penjawat awam akan menerima potongan harga sebanyak 30 peratus (GOV30) dan warga emas (SENIOR30).
Manakala bagi Pelajar dan Pemegang Kad OKU boleh membuat pembelian terus di kaunter DFP Box Office dengan mempamerkan kad Pelajar dan kad OKU.
Tempahan tiket hanya boleh didapati di laman sesawang DFP iaitu https://www.dfp.com.my/lambang-sari-series-resilience-and-triumph .