AYER KEROH, 7 April - Pengurusan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) digesa untuk segera menyelesaikan pembayaran gaji pemain dan pegawai skuad itu yang dilaporkan tertunggak hampir 3 bulan.
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pemain membawa nama negeri dan masalah itu sedikit sebanyak mencalarkan nama Melaka.
Katanya, masalah itu dikhuatiri akan mengganggu motivasi pemain serta pegawai terlibat dan mengakibatkan kegagalan pasukan untuk mendapat tempat terbaik dalam liga musim ini.
(Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)
"Saya telah maklumkan kita kalau boleh pembayaran gaji ni kita buat mengikut masa. Kalau tidak ia boleh melemahkan semangat pemain, sebab masalah gaji dan saya tahu pemasalahan gaji adalah gaji-gaji pemain ini agak tinggi nak bayar.
Gaji perlu bayar keseluruhan, jangan pilih pemain kalau tidak dia akan jadi lemah semangat, ia tidak bagus", katanya ketika ditemui di Seri Negeri, di sini.
Sebelum ini, jurulatih MUFC, Risto Vidakovic mengakui para pemain kehilangan motivasi dalam aksi Liga Super bertemu Sabah FC akibat situasi semasa pasukan itu yang melibatkan masalah pembayaran gaji.