KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Industri seni hiburan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita kematian pelakon senior, Badrul Muhayat.
Berita duka itu telah dikongsikan oleh rakan pelakon, Anne Abdullah dalam Facebook miliknya.
Jelas Anne, Badrul ditemui sudah tidak sedarkan diri di rumah penginapannya di Pulau Pinang.
“Assalamualaikum. Saya nak maklumkan Badrul Muhayat sudah meninggal dunia di sebuah homestay di Pulau Pinang. Al- Fatihah,” katanya.
Difahamkan pelakon berusia 55 tahun bersama beberapa selebriti lain berada di pulau mutiara itu kerana menyertai sebuah karnival di Seberang Perai.
Bagaimanapun, punca kematian pelakon itu masih belum diketahui.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil turut mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham menerusi hantaran di Facebook.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Badrul Muhayat, pelakon, yang telah meninggal dunia hari ini. Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah," tulisnya.