KUALA LUMPUR, 13 Mac - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengesahkan kontinjen negara bakal disertai 612 atlet dan 206 pegawai untuk ke temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam.
Menurut kenyataan MOM, jumlah tersebut iaitu 818 orang telah pun didaftarkan sebaik tarikh tutup berakhir pada semalam.
Biarpun sasaran pingat bagi temasya Hanoi masih belum diputuskan lagi namun misi Malaysia pada penyertaan kali ini sudah tentunya mahu memperbaiki keputusan diraih pada edisi 2019 di Manila.
(Gambar fail)
"Pada Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara menghantar seramai 772 atlet dan 340 pegawai dengan kejayaan membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.
"Peluang Malaysia untuk meraih keputusan positif pada edisi di Hanoi, Mei ini dilihat lebih terbuka susulan keputusan kontinjen negara menyertai 37 jenis sukan daripada 40 jenis sukan dipertandingkan di Vietnam," menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Tiga jenis sukan yang tidak akan disertai oleh Malaysia adalah bola baling, vovinam dan gusti.
Sukan SEA Hanoi kali ini akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei depan.