JOHOR BAHRU, 13 Mac - Johor Darul Takzim (JDT) merekodkan kemenangan bergaya 10-0 pada aksi pertama Piala FA, menentang pasukan dari Liga M3, Budak Rumah Murah (BRM) FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Paling mencuri tumpuan adalah hatrik daripada Fernando Forestieri yang membantu tuan rumah membenam pasukan amatur tersebut.
JDT memulakan pesta gol seawal minit ke-2 menerusi rembatan jarak dekat Foresteri sebelum Safiq Rahim, menambah gol pada minit ke-7.
Sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-19 juga berjaya menewaskan penjaga gol BRM, Kamarul Efendi Rahim.
Selang enam minit kemudian, Foresteri meledak gol kedua peribadinya sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-42, menerusi sepakan penalti.
Keghairahan JDT tidak terhenti apabila giliran Mauricio pula meledak gol ke-6 tuan rumah.
Moussa Sidibe turut menyumbang gol, selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-70, manakala pemain BRM, Mohd Haiqal Afendi dilayangkan kad merah, selepas mengutip 2 kad kuning.
Gol ke-8 JDT hadir menerusi Daryl Sham manakala Mohamadou Sumareh menyumbat gol ke-9 pada minit ke-87.
BRM yang dihadiahkan sepakan penalti pada minit terakhir gagal disempurnakan Firri Omar, sebelum serangan balas membolehkan Danial Amier Norhisham melengkapkan pesta gol JDT.