fb fb fb fb fb

RTM perkukuh pembangunan bakat MCKK dalam Royal Command Performance

7th Royal Command Performance 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri

KUALA LUMPUR, 19 November – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat seni tanah air apabila bertindak sebagai rakan utama penganjuran 7th Royal Command Performance 2025, sekali gus menyediakan platform profesional kepada pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dalam bidang muzik orkestra.

Penganjur program, Datuk Khalilur Rahman Ebrahim, berkata penglibatan RTM amat signifikan kerana penyiar nasional itu bukan sahaja menyediakan Auditorium Seri Angkasa sebagai lokasi persembahan, malah turut menurunkan tenaga pakar muzik, jurulatih dan kru teknikal bagi membimbing para pelajar.

“Di tempat lain, mereka mungkin hanya menyediakan dewan. Tetapi di sini, RTM terlibat sejak peringkat latihan hingga persembahan. Ini pengalaman yang amat bernilai,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman program di Angkasapuri, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama strategik itu memberi nilai tambah besar kerana RTM bukan sekadar menyediakan fasiliti, malah turut membantu dalam pengurusan pentas, latihan intensif serta bimbingan teknikal melalui tenaga profesionalnya.

Beliau menjelaskan, MCKK berdepan cabaran selepas pandemik COVID-19 menyebabkan ketiadaan pelapis baharu selama dua tahun.

Ramai pelajar Tingkatan Satu tidak mempunyai asas muzik, termasuk mengenal instrumen dan membaca nota.

Namun, gabungan kepakaran RTM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengatasi kekurangan tersebut melalui latihan intensif, bengkel hujung minggu dan pemantauan rapi sehingga pelajar menunjukkan peningkatan ketara.

“Semasa mula menyertai latihan, ramai yang tidak tahu apa-apa. Tetapi dengan sokongan RTM dan UPSI, mereka kini mampu membuat persembahan dengan penuh keyakinan,” katanya.

Datuk Khalilur turut menegaskan bahawa peluang tampil di Auditorium Seri Angkasa membuka pengalaman baharu kepada pelajar kerana ia merupakan pentas profesional dengan kemudahan pencahayaan, akustik dan suasana persembahan sebenar industri muzik.

Katanya, Royal Command Performance bukan sekadar acara persembahan, tetapi kesinambungan tradisi antara MCKK dan Raja-Raja Melayu sejak lebih 100 tahun di bawah penaungan Diraja.

Majlis tahun ini turut disempurnakan dengan keberangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, sekali gus mengukuhkan hubungan bersejarah antara institusi tersebut.

Selain memelihara tradisi, penganjuran edisi kali ini turut memberi penekanan kepada pembentukan disiplin, karakter dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar, selaras usaha melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kami mahu pelajar MCKK melihat dunia dengan pandangan lebih besar. Muzik ini membina disiplin, keyakinan dan semangat berpasukan yang akan membantu mereka menjadi insan yang lebih lengkap,” katanya.

Royal Command Performance yang memasuki tahun ke-10 penganjurannya kekal sebagai platform penting dalam mencungkil bakat seni, memperkukuh hubungan institusi pendidikan dengan Raja-Raja Melayu serta memupuk minat terhadap muzik orkestra dalam kalangan generasi muda.

AZRUL FAIZAL JUSOH