fb fb fb fb fb

Malam Silaturahim: 12 legenda seni berkumpul dalam acara nostalgia

Sekitar sidang media pelancaran 'Malam Silaturahim' yang diadakan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 27 November- Malam Silaturahim, sebuah acara eksklusif anjuran HS Event & Entertainment Sdn. Bhd bakal menghimpunkan 12 legenda seni tanah air dalam satu malam penuh nostalgia yang akan berlangsung di Dewan Merdeka dekat World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) pada 25 Disember ini.

Acara itu menawarkan pengalaman istimewa dengan persembahan daripada barisan artis terkenal seperti Dwan Olan, Mel Wings, Joey BPR, Ali XPDC, Aris Ariwatan, Poey Sting, Ameng Spring, Asheed DEF GAP C, Bagiio, Amir Ukays, Wan Bossanova, dan Noorshila Amin.

Tiket konsert bermula serendah RM150 dan boleh didapati mulai hari ini dengan menghubungi pihak penganjur.

Selain itu, program terbabit turut memberi tumpuan kepada inisiatif amal untuk membantu penggiat seni serta rakan media yang memerlukan.

Penganjur program, Datin Rosmariza Datuk Che Umar menjelaskan bahawa objektif utama acara itu adalah untuk merapatkan hubungan antara penggiat seni dan menghargai jasa mereka.

"Acara ini bukan semata-mata untuk meraikan artis-artis kita, tetapi turut menjadi platform untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ia bakal menyatukan individu yang pernah menjadi tonggak industri seni tanah air," katanya pada sidang media yang diadakan di sini semalam.

Melalui kerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), seramai 20 penerima sumbangan akan menerima bantuan wang tunai termasuk beberapa nama besar seperti Syah Nizam Ahmad Shamsi (Along Jinbara), Salim Ibrahim (Dr. Sam), Muhammad Yunus Abdul Rashid (Ebby Yus), dan Yazid Alias (Yazid Sejati), serta bekas wartawan dan penggiat media seperti Nafsiah Jani dan Fauziah Abdul Samad.

"Biasanya, sumbangan seperti ini diberikan menjelang Ramadan atau Hari Raya. Kali ini, kami cuba ubah tradisi dengan memberi bantuan menjelang hujung tahun," tambah Rosmariza.

Sebelum ini, HS Event & Entertainment Sdn. Bhd. telah penganjuran banyak konsert berkonsepkan amal antaranya Semarak Cinta Ramadan 2023 dan Ijmal Cinta Ramadan 2024 dengan menampilkan penyanyi legenda tanah air seperti Datuk Hattan, Ella, dan Aris Ariwatan.

SITI AISHAH MD ISA