KUALA LUMPUR, 28 November - Kumpulan muzik tersohor KRU kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaru mereka berjudul Voodoo, sebahagian daripada album terbaru mereka, 'Kaset' yang diumumkan bulan lalu.
Mengekalkan genre Pop Dance, Hip Hop, dan R&B, Voodoo menggambarkan kematangan dalam persembahan vokal serta kecanggihan penerbitan muzik kumpulan itu.
Lagu tersebut mengisahkan seorang lelaki yang terperangkap dalam daya tarikan seorang wanita dengan personaliti luar biasa.
Lebih menarik, video muzik Voodoo memaparkan 'prekuel' fiksyen perjalanan kerjaya Norman, Yusry, dan Edry sebelum pelancaran album pertama mereka pada tahun 1992.
KRU juga mencipta sejarah sebagai artis tempatan pertama menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik tersebut.
"Kami amat teruja dengan pelancaran lagu ini, bukan sahaja kerana ia adalah karya baru selepas enam tahun, tetapi juga sebagai langkah memperkenalkan teknologi AI dalam penerbitan video muzik. Kami berharap Voodoo diterima baik oleh peminat muzik dan menjadi pemangkin kepada reunion kami pada konsert Kaset yang dirancang tahun hadapan," kata KRU.
Lagu Voodoo kini boleh didapati di semua platform penstriman digital manakala video muziknya akan ditayangkan tidak lama lagi di saluran YouTube rasmi KRU, krubros.