fb fb fb fb fb

Mahkamah arah Ira Kazar tidak ganggu Puteri Sarah, masuk pernyataan pembelaan

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Selebriti wanita, Faghirah Fatini Kazaruddin atau Ira Kazar yang didakwa merupakan kekasih pengarah, Syamsul Yusof diarah masuk pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman dikemukakan Puteri Sarah Liyana dalam tempoh sebulan, mulai hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad.

"Mahkamah mengarahkan pihak defendan (Ira) masuk penyataan pembelaan dalam tuntutan saman dalam tempoh sebulan.

"Jika perlu, plaintif akan menjawabnya. Jika tidak, mahkamah akan menetapkan tarikh bicara," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Tambah Akberdin, mahkamah turut mengekalkan perintah interim injuksi. Ia termasuklah defendan diperintah berhenti mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial sehingga kes perbicaraan penuh.

"Pihak defendan tidak membantah dan perintah interim injuksi dikekalkan mahkamah," kata Akberdin.

Mengulas sama ada kes saman berkemungkinan diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak, Akberdin berkata, setakat ini belum ke arah itu lagi.

Selain Akberdin, turut hadir, peguam, Siti Natasha Basheer Hassan dan Ummi Kartini Abd Latiff.

Namun, Puteri Sarah dan Ira tidak hadir dan diwakili peguam masing-masing.

Sementara itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya perlu memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan, sebelum atau pada 4 Ogos depan.

"Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif.

"Hari ini, mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu," kata Ammar.

Puteri Sarah sebelum ini bertindak memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor berhubung gangguan dan pemerasan yang diterimanya daripada Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon vateran, Kazar.

2
( Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah)

Media Baharu