KUANTAN, 2 Julai - 'Wayang Pacak' atau pertunjukan wayang gambar sinonim dengan Jabatan Penerangan mahu pun Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai medium menyampaikan mesej kepada rakyat secara berhibur, yang dahulunya popular zaman 70an dan 80an.
Inisiatif yang dilaksanakan Unit Drama TV RTM dengan mengadakan pra-tonton drama ‘Pekan Kecil Kampung Terpencil’ di pekan Sungai Lembing seolah mengimbau nostalgia kepada penduduk selain mengambil kira lokasi penggambaran di lokasi-lokasi menarik sekitar sungai Lembing.
Menurut Penolong Pengarah Unit Drama TV RTM, Sarena Mohd Salleh setelah Negara berhadapan COVID-19 selama lebih dua tahun, ‘wayang pacak’ dilihat sebagai antara medium menarik untuk diketengahkan kepada penduduk luar bandar yang amat merindui suasana tersebut.
"Sebab wayang pacak ini terkenal sebelum ini. Kita buat kembali selepas kita beralih kepada endemik, jadi sempena hari kebangsaan kami hidupkan kembali Keluarga Malaysia kesamaan kita disini. Kami unit drama meraikan penduduk di Sungai lembing ini," kata Sarena di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi berharap penganjuran program ‘wayang pacak’ itu dapat dilakukan setiap tahun sebagai nilai tambah kepada aktiviti perlancongan di situ.
"Ribuan terima kasih kepada pihak RTM kerana memberi peluang kepada kami penduduk sungai Lembing merasai apa yang kita pernah rasai tahun 70an 80an iaitu wayang pacak. Saya berharap mungkin boleh bekerjasama kami dari sungai Lembing dengan pihak RTM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjadikan program seperti ini sebagai program tahunan kita," kata Muhammad Ridzal.
('Wayang Pacak')
Menurut Pengarah serta Penulis Skrip drama ‘Pekan Kecil Kampung Terpencil’ Wan Mohd Afzam Wan Daud, drama berkenaan digarap dengan menerapkan elemen perpaduan antara masyarakat berbilang kaum serta jalan ceritanya yang menarik.
"Untuk cerita ini pada dasarnya adalah cerita yang agak mudah, kisah percintaan yang telah putus lama kemudian pelakon wanita utama balik ke kampung bertemu dengan pelakon lelaki utama dan orang kampung yang baik hati semua cuba menyatukan percintaan mereka ini, dengan perkahwinan. Jadi ada isu konflik yang berlaku dalam perjalanan untuk menyatukan antara mereka berdua," kata Wan Mohd Afza.
Drama berteraskan aspirasi Keluarga Malaysia mengandungi 10 episod itu dijangka menemui penonton pada 10 hari terakhir sebagai ‘Countdown’ menuju ke hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti .
Disiarkan setiap hari di saluran TV RTM.
Ia turut membariskan barisan pelakon popular antaranya, Raja Ema, Mubarak Majid, Wani Kayrie, Noorkhiriah, Kamarool Yusoff, Bell Ngasri dan ramai lagi.