fb fb fb fb fb

Mael XPDC meninggal dunia

(Foto Fail Allahyarham Mael )

KUALA LUMPUR, 27 April- Vokalis kumpulan XPDC, Mael menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Muar, Johor kira-kira jam 9 malam tadi.

Khabar duka itu dikongsikan pengurus kumpulan yang terkenal dengan genre heavy metal itu yang hanya dikenali sebagai Bro Yazid di akaun Facebook peribadinya.

"Innalillahiwainnailaihirojiun, Al-Fatihah, penyanyi XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar pukul 9 malam tadi," katanya.

Difahamkan, arwah mengalami semput dan dibawa ke hospital selepas Maghrib.

Rata-rata pengikut turut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham sambil mendoakan semoga penyanyi yang terkenal dengan lagu Semangat Yang Hilang itu tenang di sisi Allah swt.

1
(Foto FB Zalie Realz)

Sementara itu , Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga berkongsi khabar duka pemergian Allahyarham Mael.

Fahmi berkata sebagai antara jutaan peminat penyanyi kumpulan rock itu, beliau mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia sebentar tadi.

“Saya antara jutaan peminat beliau dan orang sekeliling saya tahu ‘Semangat yang Hilang’ merupakan lagu kegemaran saya. Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

XPDC merupakan kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta di seluruh negara sehingga diberi jolokan sebagai 'Raja Funfair.'

 

Media Baharu